KWSP peroleh RM63 bilion hasil jual beli saham MAHB

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperoleh lebih RM63 bilion melalui penjualan beli saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa kumpulan tersebut menghadapi kerugian daripada penjualan saham MAHB.

Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan sudah ditolak oleh kumpulan itu melalui kenyataan akhbar pada 12 Februari lalu.

Jelasnya, KWSP mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Tambahnya lagi, KWSP turut berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah.

“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta.

“Aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang mahu penjelasan mengenai jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat