PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadual mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 pada Sabtu ini.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, KWSP dijangka mengagihkan dividen antara 5.8 hingga 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.5 hingga 6.0 peratus bagi Simpanan Shariah.
Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata unjuran tersebut selari dengan prestasi kukuh pendapatan pelaburan bagi sembilan bulan pertama tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, kadar akhir masih bergantung kepada disiplin realisasi keuntungan serta keperluan rizab jangka panjang dana persaraan berkenaan.
Menurut beliau, anggaran itu juga munasabah mengambil kira prestasi sembilan bulan dan amalan tadbir urus KWSP yang memberi penekanan terhadap kelestarian dana.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menjangkakan kadar dividen 2025 mungkin berada antara 6.3 hingga 6.5 peratus.
Katanya, bagi tempoh sembilan bulan 2025, KWSP merekodkan peningkatan 11 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar, sekali gus meletakkan dana persaraan itu pada landasan kukuh untuk mengumumkan dividen yang kompetitif.
KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, meningkat berbanding RM57.57 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 sahaja, pendapatan pelaburan mencecah RM25.07 bilion, naik 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku yang sama tahun 2024.
Untuk rekod, KWSP sebelum ini mengisytiharkan dividen 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun kewangan 2024.
Baca juga:








