PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi simpanan konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion.
Manakala, bagi 6.30 peratus bagi simpanan syariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
KWSP berkata, pengkreditan dividen akan selesai pada Ahad, 2 Mac 2025 dan ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.
Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut.
Aset pelaburan KWSP mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10 peratus daripada RM1,135.82 bilion pada 2023.
Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion, naik 11 peratus daripada RM97.56 bilion pada 2023.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kadar dividen KWSP yang lebih tinggi bagi tahun 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio yang berhemah.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli.

“Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi.
“Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Baca juga: