Kylian Mbappé Hampir Catat 400 Gol Pada Usia Muda

PARIS: Kylian Mbappé kini berdiri di ambang satu pencapaian yang hanya mampu dicapai oleh segelintir pemain bola sepak sepanjang zaman.

Pada usia 26 tahun, penyerang sensasi Perancis itu hanya memerlukan empat gol lagi untuk melengkapkan 400 jaringan dalam karier profesionalnya.

Ia satu angka yang biasanya dikaitkan dengan pemain veteran yang telah beraksi lebih sedekad.

Sepanjang kerjayanya, Mbappé telah menjaringkan gol untuk empat pasukan utama iaitu AS Monaco, Paris Saint-Germain (PSG), Real Madrid dan pasukan kebangsaan Perancis.

Di Monaco, beliau mula mencuri perhatian dunia dengan 27 gol yang membuka jalan kepada perpindahan besar ke PSG.

Di kelab Paris itu, Mbappé menjulang status sebagai ikon bola sepak Perancis dengan 256 gol, menjadikannya penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut.

Perpindahan ke Real Madrid memperlihatkan kesinambungan prestasi luar biasa.

Walaupun baru menyertai kelab gergasi Sepanyol itu, Mbappé telah pun meledak 60 gol termasuk 19 gol dalam hanya 16 perlawanan musim ini, satu permulaan yang mengukuhkan reputasinya sebagai mesin gol yang tidak mengenal penat.

Di pentas antarabangsa, beliau telah menyumbang 53 gol untuk pasukan kebangsaan Perancis, menjadikannya antara penjaring terbanyak dalam sejarah Les Bleus.

Jumlah keseluruhan setakat ini ialah 396 gol profesional.

Dengan prestasi semasa yang begitu konsisten, pencapaian 400 gol dijangka berlaku dalam masa terdekat atau mungkin dalam satu atau dua perlawanan lagi.

Apa yang menjadikan pencapaian ini lebih luar biasa ialah usia beliau.

Mencapai angka 400 sebelum usia 27 tahun adalah sesuatu yang hampir mustahil dalam era bola sepak moden dan Mbappé kini berada di landasan untuk mencipta sejarah baharu.

Anda Mungkin Berminat