PETALING JAYA: Sentimen kebencian serta lontaran keras yang diutarakan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap kepimpinan negara dikhuatiri memberi kesan besar kepada keyakinan ekonomi Malaysia khususnya dalam suasana krisis global.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Abdul Munim menegur kenyataan tersebut dengan menyifatkan tindakan Hadi Awang yang melabel pemimpin negara sebagai ‘bebal’ dan ‘bangang’ sebagai langkah tidak konstruktif.
“Ketika negara sedang berusaha keras untuk mengatasi kesan krisis global, Tuan Guru (Hadi) memilih untuk terus melabel pemimpin negara dengan kata-kata negatif.
“Ini bukan sahaja mengganggu tumpuan rakyat, malah memperburukkan keadaan dengan meracuni pemikiran mereka dengan sentimen benci yang tiada faedah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu subsidi bahan api yang melonjak daripada RM700 juta kepada hampir RM7 bilion dalam tempoh dua bulan terakhir, sambil mencabar Hadi untuk melihat realiti ekonomi yang sedang dihadapi kerajaan.
“Adakah beliau (Hadi) sengaja menutup mata terhadap fakta ini demi agenda politik sempit?
“Atau adakah kita semua secara tidak sedar sedang dipengaruhi oleh kebencian politik melampau?” soalnya.
Kamil berkata, peranan pembangkang sebagai agen semak dan imbang tidak harus digantikan dengan serangan kosong tanpa cadangan bernas.
“Ruang yang sepatutnya digunakan untuk mengemukakan idea bagi membantu kerajaan dalam menangani krisis, kini disia-siakan dengan ungkapan yang hanya merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa krisis yang berlaku bukan berpunca daripada kekurangan hasil negara tetapi daripada kepimpinan yang tidak amanah dan mengutamakan kroni.
“Keadaan ini berpunca daripada mereka yang memilih untuk mengutamakan kroni dan penyokong politik mereka sahaja, mengabaikan rakyat keseluruhannya,” tambahnya.
Kamil berharap agar Ahli Parlimen Marang itu serta pemimpin politik lain dapat melihat lebih jauh daripada kepentingan politik sempit dan memberi tumpuan kepada penyelesaian konstruktif demi manfaat rakyat dan negara.
“Semoga Allah memberikan hidayah dan petunjuk kepada kita semua,” ujarnya.








