Ladang ayam tertutup kurangkan kesan alam sekitar – KPKM

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Transformasi kaedah terbuka kepada sistem ladang ayam secara tertutup dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kesan alam sekitar.

Sistem berkenaan telah dipersetujui oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Mesyuarat KPKM dengan Exco-Exco Pertanian Negeri Tahun 2024 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM, mesyuarat bersetuju bahawa transformasi kaedah terbuka kepada sistem ladang ayam tertutup dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kesan alam sekitar.

“Cadangan transformasi ini adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025.

“Ia juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs) dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan kemampanan industri ternakan ayam,” jelas kenyataan tersebut.

Pemain industri penternakan ayam adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan transformasi ini agar matlamat Kadar Sara Diri (SSR) ayam dan telur seperti yang digariskan di dalam DAN 2.0 dapat dicapai.

“Mesyuarat ini merupakan platform bagi usaha kolaboratif Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian negara.

“Melalui inisiatif ini, produktiviti akan ditingkatkan, sistem sokongan dan perkhidmatan akan diperhebat, sumber diurus secara mampan, serta pelaburan dan penglibatan sektor swasta akan terus digalakkan,” tambahnya.

Usaha ini bertujuan memperkukuh dan merealisasikan agenda keterjaminan bekalan makanan negara, memacu pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selari dengan agenda Malaysia MADANI.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat