PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 31 warga asing termasuk seorang kanak-kanak dalam operasi di 12 premis sekitar daerah Kinta dan Perak Tengah.
Operasi oleh Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa itu dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan berlangsung pada jam 5.30 petang Selasa dan berakhir pada kira-kira jam 4 pagi Jumaat.
Pengarah Imigresen Negeri, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik memaklumkan, penahanan dibuat hasil pemeriksaan 12 anggota JIM terhadap 63 individu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 23 lelaki serta masing-masing tujuh wanita dan seorang kanak-kanak, berusia antara dua hingga 55 tahun.
“Penahanan itu dibuat kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Meor, kesemua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh, Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas sah.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen15(1)(c) akta sama iaitu telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan,” katanya.
Meor berkata, masyarakat diharap dapat membuat laporan atau aduan bagi membantu JIM membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara ini.
Selain PATI, Meor berkata, JIM juga akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI termasuk pendakwaan di mahkamah.
Baca juga: