BATU PAHAT: Seorang wanita warga emas berusia 65 tahun kerugian sebanyak RM171,000 selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil agensi perunding kewangan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada 28 Ogos lalu yang memperkenalkan diri sebagai pekerja agensi berkenaan.
“Suspek mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap berkaitan tuntutan insurans atas nama mangsa berjumlah RM68,800,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank serta membuat beberapa pindahan wang kononnya bagi tujuan siasatan.
“Antara 28 Ogos hingga 2 Oktober, mangsa telah memindahkan wang ke dalam 15 akaun bank berbeza secara berperingkat, melibatkan jumlah keseluruhan RM171,000.
“Suspek turut meminta bayaran tambahan namun mangsa mula mengesyaki sesuatu sebelum enggan membuat sebarang transaksi lagi,” katanya.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang mendakwa mewakili agensi kewangan atau pihak berkuasa, terutama jika diminta memberikan maklumat perbankan atau membuat pindahan wang.
Baca juga: