Lagu AI viral, artis tempatan tersisih? Zynakal bersuara!

Oleh: Tyah Helmi

PENYANYI muda, Zynakal, menggesa orang ramai untuk kembali menghargai dan menyokong pemuzik dan penyanyi tulen tempatan, berbanding terlalu mengagungkan karya yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Menerusi Thread, katanya pengiktirafan terhadap anak seni tempatan kini dilihat makin terpinggir susulan kemunculan kandungan muzik berasaskan teknologi yang mudah menjadi tular di media sosial.

“Hargai orang yang benar-benar berkarya dalam industri muzik Malaysia.

“Jangan hanya kerana sesuatu karya itu tular, kita terus mengangkatnya tanpa menilai usaha sebenar penggiat seni,” katanya.

Zynakal menegaskan, dirinya tidak mempunyai sebarang konflik peribadi dengan mana-mana individu, namun berharap masyarakat tidak memandang ringan usaha penggiat seni yang menghasilkan karya asli.

“Aku tiada masalah peribadi, tetapi janganlah hanya kerana lagu AI menjadi tular, terus dianggap sebagai pemuzik sebenar.

“Bagaimana pula dengan nasib kami sebagai anak seni?” ujarnya.

Zyn turut meluahkan rasa kecewa apabila karya-karyanya seperti Sakit, Sendiri dan Dalam Diam kurang mendapat perhatian berbanding lagu berasaskan AI.

Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial dikenali sebagai naf.ft tampil memberi pandangan berhubung isu berkenaan.

“Jika merasakan diri tidak dihargai, kuatkan semangat dan jangan mudah berputus asa. Perasaan sunyi itu lumrah, namun teruskan berkarya,” katanya.

Terdahulu, Zyn mengulas sebuah artikel yang memuji seorang pencipta kandungan dikenali sebagai Azlan The Prototype, yang meraih populariti menerusi lagu berasaskan AI bagi mempromosikan jualan kereta.

Mengulas lanjut, Zyn turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap liputan media yang disifatkan hanya memberi perhatian kepada kandungan tular.

“Serius? Sekadar ingin berkongsi, saya juga mempunyai kolaborasi dengan pihak Indonesia, sekiranya itu yang dianggap lebih ‘meletup’,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat