“Justice For Zara Qairina”, itulah lagu yang kini bergema di hati rakyat, tular di media sosial dan menjadi simbol solidariti menuntut keadilan buat arwah Zara.
Lagu ini lahir daripada sentuhan komposer dan jurugambar berbakat, Norsalim Ali, yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan sebuah karya penuh emosi.
Bagi Norsalim, ia bukan sekadar lagu, tetapi jeritan jiwa dan doa rakyat yang mahu melihat kebenaran ditegakkan.
“Isu ini meruntun hati saya sebagai seorang bapa dan datuk. Kemudian saya cuba buat lagu ini secara suka-suka, sampailah terhasilnya lagu ini.
“Saya mahukan masyarakat di Malaysia ambil cakna terhadap kes buli yang berlaku. Bukan sahaja kes arwah Zara ini, tetapi untuk kes lain juga” katanya, dipetik.
Tular di TikTok dengan lebih 3.2 juta penggunaan dan lebih 3,000 kali di Instagram, muzik video lagu itu di YouTube sudah ditonton lebih 200,000 kali hanya dalam beberapa hari.
Bukan kali pertama berkarya dengan isu semasa, Norsalim menjadikan muzik sebagai senjata halus untuk menyuarakan suara rakyat.
Namun, kali ini, “Justice For Zara” melangkaui sekadar karya seni, ia menjadi medan netizen bersatu hati, menyampaikan rasa pilu, marah dan harapan agar keadilan buat Zara ditegakkan.
Zara, pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri di longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia akibat kecederaan dalaman serius di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Baca juga:








