Lagu raya perpaduan Douglas Lim ‘sejukkan’ suasana

Oleh: Aliyaa Azmi

PELAWAK dan pelakon terkenal, Douglas Lim mencuri perhatian ramai apabila melancarkan lagu Hari Raya terbarunya, Aidilfitri Di Malaysia, di saluran YouTube rasminya.

Lagu yang menampilkan gabungan elemen budaya Malaysia itu membawa mesej perpaduan, menjadikannya sebagai antara lagu Raya yang paling mendapat pujian tahun ini.

Berdurasi selama empat minit, Lim memilih untuk berduet dengan penyanyi dan penulis lagu baharu, Murty, serta menampilkan penampilan khas penyanyi dan pelakon, Chelsia Ng.

“Kita berjaya! Terima kasih kepada semua yang telah menyokong Aidilfitri Di Malaysia. Harapnya tahun depan saya dapat buat video muzik rasmi.” katanya di Facebook pada Khamis.

Lagu ini turut disertakan dengan elemen muzik tradisional seperti dikir barat serta sampel lagu-lagu klasik daripada Puan Seri Saloma (Selamat Hari Raya), Tan Sri P. Ramlee (Dendang Perantau), Datuk M. Nasir (Satu Hari Di Hari Raya) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza (Sesuci Lebaran).

Mesej utama yang dibawakan dalam lagu ini adalah mengenai keindahan budaya muhibbah serta semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Di ruangan komen, netizen memuji usaha Lim dalam mencipta lagu yang menggambarkan semangat Bangsa Malaysia.

Seorang pengguna media sosial, Tahir, menyatakan bahawa lagu ini adalah “karya agung” yang menggambarkan Malaysia sebenar, sementelah lagi dalam bahang kehangatan isu perpaduan sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, seorang lagi peminat, Ridzuan, menyifatkan lagu ini sebagai antara lagu Raya terbaik yang pernah didengarnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehingga kini, Aidilfitri Di Malaysia telah menerima lebih 82,000 tontonan dan hampir 100 komen, membuktikan sambutan hangat daripada peminat.

Lim juga menyatakan hasratnya untuk menghasilkan video muzik rasmi bagi lagu ini pada tahun hadapan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat