Laluan Gua Musang–Jelawang Ditutup Sepenuhnya Akibat Runtuhan Jalan

GUA MUSANG: Sebahagian laluan di D29 KM11.95 Jalan Gua Musang–Jelawang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selepas berlaku runtuhan jalan di kawasan berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penutupan itu berkuat kuasa serta-merta mulai 17 November 2025 dan akan kekal sehingga kerja pemulihan selesai serta tarikh pembukaan semula dimaklumkan kelak.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran perjalanan, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif yang telah dikenal pasti iaitu Gua Musang–Sungai Asap–Bertam–Meranto–Jeli atau Gua Musang–Sungai Sam–Jeli.

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda keselamatan yang dipasang di lokasi, serta sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan terlibat.

Makluman penutupan itu dikeluarkan bersama oleh KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR), JKR Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Majlis Daerah Gua Musang serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Anda Mungkin Berminat