Laluan kereta api ke Pelabuhan Johor ditutup 6 bulan

Oleh: Haikal Tajuddin

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengeluarkan arahan berkenaan penutupan sementara trek kereta api antara Kempas Baru ke Pelabuhan Johor di Pasir Gudang bagi menjalankan kerja penambahbaikan dan pemulihan di sepanjang laluan itu.

Ketua Pegawai Korporat, Suhaimi Yaacob berkata, landasan kereta api sejauh 40 kilometer dari Kempas Baru ke stesen Pasir Gudang yang dibina pada 1983 itu mengalami kemerosotan dan memberi gangguan berpunca daripada masalah sistem pengairan air sepanjang laluan.

“Akibat pertumbuhan bandar yang pesat di sepanjang laluan kereta api itu, ia telah memburukkan masalah pengaliran air disamping meningkatkan tekanan di sekitar kawasannya.

“Disebabkan perkara itu, pembaikan secara besar-basaran amat perlu dilakukan bagi menyokong kepada permintaan yang semakin meningkat bagi kereta api kargo yang lebih pantas,” jelasnya.

Menurutnya, pembaikan itu akan memberi fokus kepada pemindahan penempatan haram yang mencerobohi rizab kereta api dan memperbaiki sistem permukaan pengaliran air yang dapat mencegah banjir akibat pembangunan bandar.

Tambahnya, KTM Kargo masih terus beroperasi namun ia akan mengalami sedikit kelewatan yang tidak dapat dielakkan dan akan menghalang penyelesaiannya untuk sampai tepat pada masanya.

“Untuk Pemindahan Antara Terminal (TTT) antara Port Tanjung Pelepas (PTP), Pasir Gudang dan Port Klang, terpaksa dihadkan perjalanannya kepada empat kali sehari walaupun permintaan untuk perkhidmatan kargo kini dilihat adalah lebih tinggi,” jelasnya.

Ujarnya, pemulihan dan pembaikan menyeluruh laluan ini pada asalnya dijadualkan mengambil masa kira-kira 24 bulan tanpa penutupan penuh.

“Namun, jika melaksanakan penutupan secara penuh, kerja pemulihan trek dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan sahaja.

“Ia akan membolehkan KTMB menyambung operasi kargo dan menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien sebagai respons kepada permintaan yang lebih tinggi dalam pasaran logistik,” katanya.

Anda Mungkin Berminat