PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menambah baik laluan SmartLane dengan pemasangan lampu hijau berkelip untuk menunjukkan laluan SmartLane diaktifkan bagi mengelakkan kesesakan dan menambah kapasiti lorong di lokasi kritikal sepanjang lebuh raya.
Selain lampu berkenaan, PLUS turut menambah papan tanda peringatan pembukaan SmartLane di lokasi yang telah dikenal pasti.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, penambahbaikan ini bertujuan untuk memudahkan pengguna jalan raya mengelak kesesakan lalu lintas terutama sekali apabila mendekati hari perayaan.
Nik Airina turut berkata pihak PLUS akan menambah laluan SmartLane kepada 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di enam lebuh raua sempena musim perayaan lalu, 70 peratus pengguna bersetuju bahawa inisiatif SmartLane telah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Selain mengurangkan aliran trafik, ia turut membantu dalam menjimatkan masa dan memudahkan pengguna jalan raya, khususnya kenderaan persendirian atau penumpang,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Nik Airina turut menegaskan kepada orang ramai untuk tidak memandu di lorong kecemasan di mana-mana lokasi yang tiada laluan SmartLane diaktifkan.
Baca juga: