Langat 2 Bukti Keupayaan Anak Bangsa Kuasai Teknologi – PM

HULU LANGAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang disifatkan sebagai projek mega gergasi yang mencerminkan keupayaan anak Malaysia menguasai teknologi canggih demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau berkata, pembangunan loji itu sebagai simbol usaha kerajaan dalam mengangkat siling ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan bekalan air bersih, berkualiti dan mampan.

“Air dan sumber tenaga adalah nadi pembangunan. Tanpa keduanya, mustahil negara ini mampu menjadi destinasi pelaburan, pusat teknologi dan hab data serantau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan Langat 2 adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat tempatan yang digerakkan sepenuhnya oleh kepakaran anak bangsa dalam menjayakan projek bernilai berbilion ringgit itu.

Beliau berkata, projek seperti itu menuntut pengurusan berintegriti, kecekapan, tenaga profesional terlatih serta semangat kebersamaan tinggi bagi memastikan kelangsungan bekalan air negara.

“Saya berharap usaha ini memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan keselesaan hidup rakyat dan memartabatkan prinsip tatakelola baik,” katanya.

Langat 2 dijangka menjadi antara tonggak utama dalam memenuhi keperluan strategik negara, selain menjadi legasi penting untuk generasi masa kini dan akan datang.

Projek ini mula dirancang sejak awal tahun 2000-an, sebagai langkah menampung keperluan bekalan air di Lembah Klang selari dengan pertumbuhan penduduk dan pembangunan ekonomi.

Anda Mungkin Berminat