Langgar larangan 3C, BERSIH selar pengumuman peruntukan kerajaan di KKB

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) selar pengumuman peruntukan kerajaan di Kuala Kubu Baharu yang melanggar garis panduan Larangan 3C dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK).

Larangan 3C tersebut ialah No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) dan ia dilihat seperti pengumuman peruntukan tersebut melanggar garis panduan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming sebelum ini, membuat pengumuman kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM5.21 juta buat Program Sentuhan Kasih KPKT di Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Khamis.

“Peruntukan khusus kepada KKB ini dilihat telah melanggar prinsip ‘tidak berkempen’ yang mengaitkan peruntukan kerajaan dengan sokongan politik.

“Tindakan ini juga boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh yang tidak wajar kerajaan terhadap pengundi KKB yang bakal membuang undi pada 11 Mei depan,” kata kenyataan yang dikeluarkan BERSIH pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nga Kor Ming turut menyeru penduduk balik kampung dan meminta mengundi parti yang “baik, prihatin, progresif” walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik dalam kerajaan.

BERSIH turut menggesa kerajaan menghentikan amalan tidak beretika ini yang bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata dalam pilihan raya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat