Gerakan Langkah Dubai yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan oleh pemimpin parti pembangkang dilihat tidak memberi kesan terhadap pentadbiran semasa.
Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumpuan kerajaan lebih tertumpu kepada pembangunan negara dan rakyat.
“Itu kerja mereka. Bagi saya tindakan itu tidak beri kesan dan yang penting kita sudah lancarkan satu program penting bagi rakyat,” katanya selepas melancarkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Putrajaya pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan wujud cubaan tersebut.
Rancangan itu didakwa timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Pertemuan tersebut dipercayai diadakan untuk memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli Parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang.
Selain pemimpin pembangkang, beberapa tokoh politik veteran berpengaruh, termasuk dituduh menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar dipercayai turut terlibat.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PN menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.
Baca juga: