Langkah Kerajaan MADANI Legakan Rakyat, Perkukuh Ekonomi – Fahmi

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pengumuman lima langkah segera Kerajaan MADANI yang memberi kelegaan kepada rakyat serta memperkukuh kestabilan ekonomi negara.

Menurut beliau, pengumuman tersebut membuktikan kepekaan kerajaan terhadap keperluan rakyat dan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban hidup menerusi pelbagai bentuk bantuan.

“Pengumuman ini bukan sekadar bantuan, tetapi bukti keprihatinan dan kepekaan Kerajaan MADANI terhadap denyut nadi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus berusaha menyeimbangkan antara keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

“Langkah yang diambil adalah hasil pertimbangan teliti, berlandaskan prinsip keadilan sosial dan kemampanan ekonomi.”

Lima langkah utama yang diumumkan Perdana Menteri termasuk bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, cuti umum khas pada 15 September, peluasan program Jualan Rahmah, penangguhan kenaikan tol, serta penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter mulai Ogos.

Datuk Fahmi menyatakan bahawa pendekatan ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat, malah turut memperkukuh daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

“Langkah-langkah ini dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan keyakinan terhadap hala tuju pentadbiran MADANI.”

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), Datuk Fahmi turut menyeru seluruh rakyat agar menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan kebangsaan.

“Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan, serta bersama menyumbang kepada kemakmuran negara.”

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat jangka panjang untuk seluruh rakyat Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat