Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: ASEAN telah mencapai kemajuan besar dalam memajukan teknologi nuklear secara aman khususnya menerusi kerjasama berterusan bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dalam pelbagai bidang.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata antara bidang yang mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi nuklear yang maju itu adalah bidang pertanian, diagnostik, perubatan, teknologi makanan dan lain-lain.
“Ini membuktikan komitmen ASEAN untuk memanfaatkan aplikasi sivil tenaga nuklear secara aman, selaras dengan objektif Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT),” kataya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan pada Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.
Di sebalik pencapaian itu, Hasan menzahirkan rasa kebimbangan bahawa Asia Tenggara satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum diiktiraf secara rasmi oleh negara-negara pemilik senjata nuklear melalui tandatangan dan ratifikasi Protokol Perjanjian itu.

“Dalam hal itu, kita menyambut baik kesediaan negara-negara pemilik senjata nuklear untuk berunding dengan ASEAN, ke arah penandatanganan dan ratifikasi Protokol tersebut.
“Maka, menjadi tanggungjawab ASEAN untuk memberi maklum balas secara membina dan segera,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh negara-negara anggota ASEAN untuk mewujudkan keadaan yang amat sesuai agar negara-negara pemilik senjata nuklear itu dapat mengambil langkah yang penting termasuk menyelesaikan isu-isu yang masih tertangguh mengikut prinsip dan matlamat perjanjian.
“Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa Perjanjian ini bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi sebuah komitmen hidup dan dinamik yang menyumbang secara bermakna kepada usaha perlucutan senjata di peringkat serantau dan global,” katanya.
Beliau sekali lagi menyeru kepada seluruh negara anggota ASEAN untuk terus bersatu dalam merealisasikan impian agar Asia Tenggara bebas daripada senjata nuklear.
“Saya menantikan perbincangan kita hari ini dan idea-idea bernas yang akan dibawakan,” ujarnya.
Baca juga: