Langkawi Jadi Titik Mula Reformasi Pendidikan Tinggi ASEAN – Dr Zambry

PETALING JAYA: Langkawi mencipta sejarah sebagai saksi kepada permulaan era baharu pendidikan tinggi serantau apabila negara-negara ASEAN sebulat suara menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi 2045 dalam Sidang Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Deklarasi ini menggantikan versi 2015 dan mengetengahkan prinsip keterangkuman, kemampanan dan kemakmuran bersama sebagai asas pembentukan landskap pendidikan tinggi ASEAN menjelang 2045.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan penerimaan deklarasi tersebut sebagai satu pencapaian besar yang akan menjadi asas penting kepada masa depan pendidikan tinggi rantau ini.

“Kesepakatan hari ini mencerminkan iltizam bersama kita untuk memperkukuh mobiliti akademia, jaringan institusi, pembangunan bakat serta keterhubungan dasar serantau.

“Malaysia turut berharap agar deklarasi ini akan diterima pakai dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin ASEAN pada Oktober nanti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, antara inisiatif penting yang diketengahkan Malaysia dan disambut baik oleh negara-negara anggota ialah pelaksanaan ‘Graduate Pass’ bagi memperkasa mobiliti pelajar dan tenaga akademik dan penubuhan ASEAN-GEMS iaitu sebuah platform biasiswa bersama untuk pertukaran pelajar dan pensyarah.

“Selain itu, pembentukan Pelan Tindakan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi ASEAN yang bakal diselaras Sekretariat ASEAN di Jakarta, sistem pengiktirafan kelayakan bersama bagi memudahkan mobiliti profesional graduan.

“Pelancaran portal GlobalASEAN.org, hasil kerjasama IKMAS-UKM, ERIA dan TalentCorp dan cadangan penubuhan ASEAN Institute sebagai pusat rujukan pengajian ASEAN yang dicadang diterajui oleh UKM,” katanya.

Dokumen strategik ini akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN, sekali gus mengangkat Langkawi sebagai simbol permulaan baharu dalam misi transformasi pendidikan tinggi ASEAN.

Anda Mungkin Berminat