PETALING JAYA: Proses pelantikan Pendakwa Raya di Malaysia perlu dilaksanakan secara telus, berlapis dan tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang yang kukuh, tegas Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM).
Setiausaha KRPPM, Young Syefura, dalam kenyataan media pada Khamis berkata, pihaknya mencadangkan agar institusi Parlimen turut terlibat dalam proses kelulusan dan semakan calon Pendakwa Raya.
Beliau merujuk kepada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 2026 pada 23 Februari lalu yang bertujuan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Secara prinsipnya, KRPPM menyokong pemisahan peranan ini bagi memastikan fungsi Pendakwa Raya bersifat undang-undang sepenuhnya dan bebas daripada campur tangan politik.
“Manakala Peguam Negara memainkan peranan ‘politico-legal’ selaras dengan prinsip reformasi institusi perundangan negara,” katanya.
KRPPM berkata, kerangka RUU tersebut memerlukan penelitian lanjut khususnya dari segi mekanisme semak dan imbang agar semangat pemisahan kuasa benar-benar direalisasikan.
Menurut kumpulan itu, meskipun jawatan dipisahkan, kuasa pendakwaan yang dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya tidak boleh mewujudkan kuasa mutlak kepada satu individu.
Pendakwa Raya, jelas mereka, tidak seharusnya mempunyai kuasa penuh untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding tanpa kebertanggungjawaban kepada Parlimen.
KRPPM mencadangkan agar RUU memasukkan mekanisme akauntabiliti statutori kepada Parlimen termasuk pelaporan berkala serta semakan institusi rakyat.
Kumpulan itu turut membangkitkan isu pengaruh eksekutif dalam pelantikan melalui struktur Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
Walaupun Perdana Menteri tidak dinamakan secara langsung, Pengerusi SPKP ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri.
Hal ini, menurut KRPPM, membuka ruang kepada pengaruh tidak langsung eksekutif terhadap pelantikan Pendakwa Raya.
Selain itu, RUU turut memperuntukkan budi bicara luas dalam mempertimbangkan calon di luar cadangan SPKP, yang berpotensi membuka ruang manipulasi atau tekanan tidak wajar.
KRPPM juga mempersoalkan komposisi SPKP selepas pindaan yang merangkumi Pendakwa Raya, Peguam Negara, Peguam Cara Negara serta individu dilantik Yang di-Pertuan Agong.
Menurut mereka, tidak wajar bagi Pendakwa Raya menganggotai suruhanjaya yang mempunyai kuasa terhadap pelantikan dan tatatertib kehakiman, manakala Peguam Negara pula tidak sepatutnya terlibat dalam pengurusan perkhidmatan pendakwaan.
“Struktur SPKP dirombak agar bebas daripada pengaruh eksekutif.
“SPKP dibahagikan kepada dua entiti berasingan iaitu Suruhanjaya Pendakwaan dan Suruhanjaya Perundangan,” katanya.
KRPPM memaklumkan kebimbangan dan cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
Bagaimanapun, mereka berpandangan RUU berkenaan perlu dirujuk secara formal kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 54 atau 80B bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat dengan mendapatkan pandangan pakar sebelum diluluskan.
KRPPM berkata, pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya akan bermakna sekiranya disertai mekanisme ketelusan dan akauntabiliti jelas kepada Parlimen, sekali gus memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem perundangan negara.
“Cadangan murni ini selaras dengan prinsip reformasi institusi yang holistik.
“Kami turut menegaskan bahawa pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya akan benar-benar bermakna sekiranya ia memperkukuh kebebasan institusi dengan mekanisme semak dan imbang yang berkesan,” ujarnya.








