Lapan Kondo Mewah Lokasi Sindiket Penipuan Panggilan Diserbu

PETALING JAYA: Satu sindiket penipuan panggilan antarabangsa berjaya ditumpaskan dalam serbuan di lapan premis kondominium Persiaran Stonor pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan seramai 14 individu termasuk 11 warga China, seorang warga Turki dan dua warga tempatan.

“Semua mereka termasuk empat wanita warga China ini berperanan sebagai ketua sindiket, penolong ketua, pengurus, pengurus kewangan, pegawai khidmat pelanggan serta pemandu.

“Sindiket ini disyaki terlibat dalam penipuan permainan video dalam talian yang menawarkan hadiah berbentuk gajet seperti telefon bimbit, komputer dan barangan mewah lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Turut dirampas wang tunai hampir RM5 juta dan pelbagai matawang asing, dua kereta mewah, 27 telefon bimbit, enam komputer riba, barang kemas, jam dan beg tangan mewah.

Ramli berkata, sindiket itu yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China akan menyertai forum dan ruang sembang di negara itu bagi menarik mangsa menyertai platform permainan mereka yang menawarkan hadiah lumayan.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut akan diminta memuat naik aplikasi yang ditetap sebelum meminta mereka membuat beberapa bayaran tertentu untuk menyertai atau untuk meneruskan permainan tersebut.

“Bagaimanapun, selepas mangsa membuat bayaran sindiket itu tidak dapat dihubungi,” katanya.

Tambahnya, 12 warga asing yang ditahan itu direman empat hari hingga 23 Feb depan, manakala dua warga tempatan, direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat