Lapan lokasi catat IPU tidak sihat pagi ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan lokasi di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 9 pagi tadi, dengan Alor Gajah, Melaka merekodkan bacaan tertinggi iaitu 159.

Menurut semakan di laman Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) milik Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan tinggi turut direkodkan di Nilai, Negeri Sembilan (158); Mentakab, Pahang (156); Banting, Selangor (155); Cheras dan Johan Setia, Selangor (152); Putrajaya (123); serta Bukit Rambai, Melaka (103).

Selain itu, tiga kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik manakala 56 kawasan lain berada pada tahap sederhana.

Untuk rekod, pada jam 3 petang semalam, lima kawasan sudah mencatatkan bacaan tidak sihat termasuk Putrajaya (139), Banting (154), Nilai (162), Alor Gajah (110) dan Johan Setia (154).

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar memaklumkan keadaan ini turut dipengaruhi oleh fenomena jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata laporan Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mengesan sebanyak 79 titik panas di Sumatera, Indonesia.

Katanya, asap dari kawasan berkenaan dipercayai dibawa ke negara ini oleh tiupan angin barat daya dan menyumbang kepada keadaan berjerebu terutama di beberapa negeri pantai barat Semenanjung.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat