Oleh: Syahirah Harish
KUCHING: Seramai lapan pemancing yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang selepas keluar memancing dari Jeti Semariang Batu pada Selasa lalu akhirnya ditemukan selamat, hari ini.
Bot yang membawa tiga kru bersama lima pemancing itu dilaporkan sepatutnya pulang pada Khamis, namun mula dikesan hilang di perairan Kuching ketika perjalanan pulang ke jeti tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah memaklumkan bahawa bot tersebut berjaya dikesan kelmarin.
“Pada pukul 1.45 tengah hari tadi, rakan kumpulan pemancing itu berjaya menghubungi mereka.
“Bot pemancing itu kemudian berjaya ditemui dan tiga kru serta lima pemancing semuanya selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan mendapati, bot pemancing tersebut mengalami masalah enjin ketika dalam perjalanan pulang pada 31 Oktober, menyebabkan mereka hanyut di laut.
Identiti kesemua yang terlibat telah dikenalpasti sebagai Husin Ayub, 67; Samarin Sharkawi, 33; Mohamad Haikal Sharkawi, 17; Mohd Azizi Hamzi, 17; Dahlan Ramli, 41; Hasrin Ismail, 53; Johari Bujang, 51; dan Abdullah Ajek, 56.
Kejadian ini menamatkan dua hari penuh ketidakpastian dan kebimbangan bagi keluarga pemancing tersebut. Kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke darat untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
Baca juga: