Lapan petugas MAPIM syahid diserang tentera Israel

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) disahkan terbunuh dalam satu serangan udara oleh tentera haram Israel di Beit Lahiya, Utara Gaza pada Sabtu.

Menerusi satu kenyataan media, Ketua Aktivis MAPIM, Datuk Sani Araby memaklumkan serangan yang tidak dijangka itu berlaku pada pukul 1.30 petang waktu tempatan ketika mereka sedang membina khemah bagi menempatkan keluarga pelarian Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat jenayah genosid yang berterusan di Gaza.

Dalam pada itu, Sani Araby mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu sebagai satu jenayah perang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Tindakan menyerang petugas kemanusiaan adalah satu perbuatan terkutuk dan jenayah perang paling keji.

“Serangan ini bukan sahaja mengorbankan nyawa yang tidak berdosa tetapi turut menjejaskan misi kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Antara lapan petugas kemanusiaan yang terkorban telah dikenalpasti sebagai; Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad.

Sani berkata, pihaknya menggesa rakyat Malaysia untuk mengadakan doa Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan saudara-saudara di Gaza.

Dengan penuh emosi, Sany turut menyifatkan MAPIM kehilangan beberapa petugas yang sangat komited dan ikhlas berkhidmat termasuk seorang rakan media yang amat rapat dengan beliau.

Tegas MAPIM, serangan terhadap petugas-petugasnya itu satu pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi penduduk awam di zon konflik.

Justeru, Sany menyeru kepada masyarakat dunia untuk segera bertindak menghentikan keganasan ini bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan buat mangsa serta keluarga mereka.

Untuk rekod, sehingga kini, MAPIM telah berjaya mendirikan 1,000 khemah bagi menempatkan pelarian yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan udara berterusan di Gaza.

Anda Mungkin Berminat