Lapangan Terbang Di Kanada Ditutup Sementara Susulan Rampasan Pesawat

VANCOUVER: Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver digemparkan apabila sebuah pesawat ringan jenis Cessna 172 telah dirampas dan memasuki ruang udara berhampiran kawasan penerbangan sibuk itu sehingga memaksa pihak berkuasa menutup operasi buat sementara waktu.

Menurut Polis Diraja Kanada (RCMP), insiden berlaku sekitar 1.10 petang waktu tempatan selepas laporan diterima mengenai pesawat tersebut yang dipercayai dirampas dari kawasan Pulau Vancouver.

Pesawat terbabit kemudiannya berjaya mendarat dengan selamat pada 1.45 petang, di mana suspek yang bertindak bersendirian telah ditahan serta-merta.

“Kami bertindak pantas bagi memastikan keselamatan awam dan suspek kini dalam tahanan,” kata jurucakap RCMP dalam kenyataan ringkas, memetik laporan media antarabangsa.

Penutupan lapangan terbang telah menyebabkan gangguan kepada jadual penerbangan komersial, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif rampasan serta latar belakang individu terlibat.

Setakat ini, tiada ancaman lanjut dikesan, namun insiden berprofil tinggi ini menimbulkan persoalan tentang keselamatan penerbangan di kawasan terbabit.

Keadaan kembali pulih secara berperingkat dan pasukan keselamatan mengekalkan kawalan ketat di sekitar lapangan terbang.

Anda Mungkin Berminat