KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pergerakan kenderaan barangan berat pada tarikh tertentu sebelum dan selepas sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, larangan itu akan berkuat kuasa pada 14 dan 15 Februari, serta 21 dan 22 Februari.
“Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan aliran trafik lebih lancar sepanjang tempoh perayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, semua pengusaha dan pengguna kenderaan berat perlu mematuhi arahan berkenaan demi keselamatan bersama.
“Kami menasihatkan semua pihak supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, mematuhi undang-undang jalan raya serta merancang perjalanan lebih awal,” katanya.
Larangan ini terpakai sepanjang hari bagi lori dengan muatan melebihi 7,500 kilogram, treler serta kenderaan yang membawa bahan binaan seperti simen, besi dan pasir.
Selain itu, lori kontena yang membawa barangan termasuk barangan elektronik dan bahan kimia dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan perindustrian dalam negeri yang sama turut dilarang berada di jalan raya dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.
Bagi kren bergerak dan lori pengadun simen, larangan dikenakan dari pukul 6 petang hingga 6 pagi dalam lingkungan 25 kilometer dari tapak pembinaan.
Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kenderaan yang terlibat dalam operasi kecemasan.
“Penguatkuasaan ini penting bagi mengelakkan kesesakan dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya lain,” ujar beliau.








