Larangan Vape Tingkatkan Pasaran Haram, Jejas Ekonomi

KUALA LUMPUR: Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE) memberi amaran cadangan larangan vape hanya akan meningkatkan pasaran gelap, menjejaskan hasil cukai kerajaan serta mengakibatkan kehilangan pekerjaan.

Pengarah Urusannya, Pankaj Kumar berkata, pengalaman menunjukkan pengharaman bukan penyelesaian, sebaliknya membuka ruang kepada aktiviti haram.

“Setiap kali ada pengharaman, pasaran gelap akan berkembang. Kerajaan akhirnya rugi hasil cukai, perniagaan sah terjejas dan ribuan pekerjaan hilang,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

DARE merujuk kepada tinjauan Malaysian Vapers Alliance (MVA) yang mendapati 74 peratus pengguna bimbang larangan akan mendorong jualan haram, manakala 80 peratus pula risau berdepan produk tidak selamat kerana tiada kawal selia.

Industri vape Malaysia pernah bernilai RM3.48 bilion dengan 31,500 pekerjaan. Namun selepas Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) berkuat kuasa, jumlah jenama berdaftar merosot daripada 3,200 kepada hanya 390 dalam tempoh kurang setahun.

“Pengguna tetap membeli, tetapi bila kawal selia bercelaru antara negeri dan persekutuan, ruang pasaran haram makin luas. Inilah kerugian sebenar kepada ekonomi,” kata Pankaj.

Beliau menegaskan Akta 852 sudah ada kerangka kawal selia nasional dengan perlindungan kepada bawah umur, dan langkah lebih berkesan ialah memastikan penguatkuasaan undang-undang, bukannya melaksanakan larangan baharu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat