PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI) tetapi turut berdisiplin dan berpaksikan nilai agama, budaya serta bahasa tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program CD:NXT anjuran CelcomDigi Berhad di Petaling Jaya pada Selasa, yang bertujuan membangunkan bakat masa depan negara selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai ekonomi digital berasaskan teknologi 5G dan AI.
“Latih generasi muda jadi pakar-pakar pintar AI yang mengikut disiplin.
“Apakah AI ini, sepertimana teknologi, maklumat lainnya apa yang kita harapkan? Kerana kepintarannya baik dan kepintaran dari mana?
“Dari apa yang dilontarkan dan dimasukkan kepadanya dan dia akan luahkan berdasarkan kesemua kepintaran dari maklumat yang ada daripada maklumat yang dimasukkan,” katanya.
Menurut Anwar, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu melahirkan penyumbang yang mampu membentuk AI berdasarkan acuan dan keperluan negara sendiri.
“Kerana itu inovatif kita dan pakar kita harus dilatih supaya memasukkan bidang disiplin yang penting juga bagi kita.
“Ini yang AS, Rusia, China, tapi dari agama kita, bahasa kita, budaya kita tiada. Kalau tidak ada, dia akan luahkan apa yang ada,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi.
Anwar turut menekankan bahawa penguasaan teknologi dari kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan Eropah perlu disertai dengan keupayaan menilai, memilih dan membina teknologi yang sejajar dengan nilai kemanusiaan.
“Kita mesti pertahankan juga sikap kita, yang mana kepintaran asli manusia itu harus ada membezakan antara nilai dan elemen kemanusiaan di dalam kepintaran teknologi maklumat dan AI, yang sangat diperlukan oleh kita,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap potensi anak muda Malaysia yang menurutnya memiliki semangat dan kemampuan untuk maju dalam bidang AI demi masa depan negara.