Latihan Penerbangan Rendah, Bunyi Letupan Di Kuantan Sempena Sambutan Hari ATM Ke-92

KUANTAN: Penduduk sekitar Pangkalan Udara Kuantan dan kawasan udara negeri Pahang bakal menyaksikan kehadiran pesawat tentera yang terbang rendah dan menghasilkan bunyi bising sepanjang minggu ini.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan bahawa pesawat-pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan latihan penerbangan dari 15 hingga 18 September sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-92.

Latihan ini melibatkan pelbagai jenis pesawat termasuk jet pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter yang akan berlangsung di ruang udara sekitar Pangkalan Udara Kuantan.

“Demonstrasi dinamik ini akan mempamerkan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara dan melakukan operasi menyelamat tebusan daripada pihak musuh.

“Semasa demonstrasi tersebut, ia turut melibatkan beberapa letupan.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak panik sekiranya melihat pesawat tentera terbang rendah serta terdengar bunyi letupan,” kata kenyataan itu.

TUDM berkata, latihan ini merupakan sebahagian daripada demonstrasi dinamik yang akan dipersembahkan sempena Hari Ulang Tahun ATM pada 20 September serta Karnival ATM 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 22 September di Pangkalan Udara Kuantan.

TUDM turut menyeru orang awam agar memberikan kerjasama dan memahami keperluan latihan ini sebagai persiapan penting bagi acara rasmi ATM.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui talian 03-2059 8400 / 03-2059 8419 atau emel ke [email protected].

Anda Mungkin Berminat