Laungan ‘Hancur Israel’ Iringi Ribuan Peserta Menuju Kedutaan AS

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat Malaysia membanjiri ibu kota pada petang Khamis dalam satu perarakan bersejarah menuju ke Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang telah dipintas dan ditahan.

Himpunan bermula sekitar pukul 4 petang berhampiran Bangunan Lembaga Tabung Haji (TH), sebelum peserta bergerak beramai-ramai ke hadapan kedutaan AS.

Suasana penuh semangat dan emosi menyelubungi jalanan, dengan ribuan suara bergema menuntut keadilan dan kebebasan buat Palestin.

Malaysia Bangkit yang berada di lokasi melaporkan bahawa pihak kedutaan enggan membuka pintu untuk menerima memorandum khas yang dibawa oleh wakil Malaysia.

Turut kelihatan mengetuai delegasi penyerahan memorandum ialah Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim yang berdiri di barisan hadapan bersama para demonstran.

Antara tokoh dan pemimpin yang turut hadir memberikan sokongan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Abdul Rahman Alhadad; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Prof Dr Maszlee Malik; Pemangku Presiden Parti Muda, Amira Aisya Abdul Aziz; Bekas Setiausaha Agung Parti Muda, Amir Hariri Abd Hadi serta pendakwah terkenal Pencetus Ummah Amin, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim.

Di sepanjang perarakan, para peserta melaungkan pelbagai slogan yang menyuarakan sokongan padu terhadap perjuangan Palestin.

Antara laungan yang bergema ialah “Bebas-Bebas Palestin”, “Bebaskan Para Palestin”, “Orang Islam Bersatu, Kami tidak boleh dikalahkan”.

Namun, kemarahan terhadap rejim Israel turut dizahirkan melalui laungan keras seperti.

“Hancur-Hancur Israel”, “Israel Bangsat”, “Israel Musnah”,” laung para peserta himpunan.

Selain slogan, suasana turut diselubungi dengan laungan takbir, zikir dan bacaan doa qunut nazilah bagi menandakan kesatuan spiritual dan emosi umat Islam dalam menghadapi krisis kemanusiaan ini.

Disebabkan kedutaan masih enggan menerima memorandum, penganjur mengumumkan bahawa himpunan akan diteruskan pada hari Jumaat, bermula sekali lagi dari Bangunan Lembaga Tabung Haji (LTH) menuju ke kedutaan AS.

Anda Mungkin Berminat