Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Republik Rakyat China dari 19 hingga 22 September atas jemputan Presiden Xi Jinping mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Menerusi kenyataan Wisma Putra hari ini, Lawatan Negara pertama Sultan Ibrahim ke China sejak menaiki takhta pada 31 Januari 2024.
“Lawatan negara ini memberi peluang yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan di antara Malaysia dan China terus kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik dan makmur demi manfaat rakyat kedua-dua buah negara.
“Lawatan ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China,” katanya.
Jelasnya, selain pertukaran lawatan peringkat tinggi, pelbagai program rasmi turut dijalankan termasuk pengeluaran setem dan duit syiling peringatan serta penerbitan ‘coffee table book’ pada 19 Jun di Kuala Lumpur semasa lawatan Perdana Menteri Li Qiang baru-baru ini.
“Baginda dijadualkan bakal menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan bersama Presiden Xi Jinping serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Rakyat China.
“Seterusnya, baginda juga turut perkenan menerima menghadap Perdana Menteri China, Li Qiang serta dijadualkan untuk menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia semasa lawatan ini,” jelasnya.
Sebelum ini, majlis makan malam bagi meraikan ulang tahun ke-50 telah diadakan pada 31 Mei 2024 di Beijing dan 19 Jun 2024 di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (USD98.90 bilion) yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.
Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024 yang mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (USD49.53 bilion) berbanding dengan RM214.87 bilion (USD48.21 bilion) pada pertengahan tahun pertama 2023.
Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion bersamaan dengan USD717.7 juta.