GEORGE TOWN: Usai tiba dari Doha pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja ke Pulau Pinang dengan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri, TYT Tun Ramli Ngah Talib di kediaman rasmi Seri Mutiara.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang memperlihatkan kesepaduan antara kepimpinan negeri dan persekutuan dalam membincangkan isu-isu penting negara.
“Pertemuan yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Komunikasi ini menyentuh pelbagai perkara daripada perkembangan geopolitik antarabangsa hingga ke pembangunan negara serta kebajikan rakyat di negeri ini,” kata Perdana Menteri.
Dalam pada itu, TYT Tun Ramli turut berkongsi gambar lama yang merakamkan kenangan beliau bersama Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekitar tahun 90-an, selepas mereka bermain badminton bersama YM Toh Puan Raja Datuk Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.
“Sempat menghimbau nostalgia tatkala Tun Ramli menunjukkan gambar lama saya dan Azizah bersama beliau dan YM Toh Puan Raja Datuk Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah yang dirakam sekitar 90-an, selepas kami bermain badminton,” ujarnya.
Selepas santapan tengah hari, Perdana Menteri turut berpeluang bergambar bersama keluarga TYT Ramli, sambil menyampaikan salam daripada Wan Azizah kepada semua yang hadir.
“Selepas santapan tengah hari, saya berpeluang bergambar bersama keluarga TYT Ramli, sambil menitipkan salam Azizah buat semua,” katanya.