PETALING JAYA: Lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat ke Malaysia memperlihatkan betapa pentingnya negara kita di pentas dunia, kata Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj.

Beliau berkata ia bukan sahaja dalam konteks politik serantau, tetapi juga dari sudut ekonomi dan hubungan dua hala.
“Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, terus memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuhkan kestabilan, kerjasama serantau dan pembangunan ekonomi yang inklusif di Asia Tenggara.
“Kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali namun tegas dalam memperjuangkan prinsip-prinsip antarabangsa menjadikan kita rakan dialog yang dipercayai oleh kuasa-kuasa besar dunia, termasuk Amerika Syarikat.
“Meskipun Malaysia lantang bersuara dalam isu-isu hak asasi manusia seperti konflik Gaza-Palestin dan tidak gentar menyuarakan pendirian tegas di forum antarabangsa, hubungan diplomatik serta perdagangan dengan Amerika Syarikat tetap kukuh dan terus berkembang.
“Ini membuktikan bahawa Malaysia mampu mengekalkan prinsip moral tanpa menjejaskan kepentingan strategik negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Yuneswaran, lawatan ini juga peluang penting untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, keselamatan serantau, pendidikan, perubahan iklim dan teknologi.
“Sebagai ahli Parlimen dan wakil rakyat, saya percaya hubungan diplomatik yang matang ini harus dimanfaatkan untuk membawa manfaat sebenar kepada rakyat khususnya dalam membuka peluang pekerjaan, memperluas akses pasaran produk Malaysia, serta memantapkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.
“Malaysia akan terus kekal sebagai suara berprinsip, progresif dan aktif di peringkat antarabangsa demi keamanan, keadilan dan kemakmuran bersama,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio dalam satu pertemuan berprofil tinggi yang melonjakkan hubungan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Baca juga: