KOTA KINABALU: Suasana ceria dan penuh warna-warni di Pasar Gaya pagi tadi menjadi saksi kepada kunjungan mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meluangkan masa menyantuni para peniaga dan pengunjung di nadi ekonomi tempatan itu.
Dalam satu hantaran yang dikongsikan beliau, Perdana Menteri menggambarkan kehangatan dan keramahan rakyat Sabah yang begitu membekas di hati, selain mengagumi kepelbagaian hasil tempatan, kraf tangan dan juadah yang ditawarkan di pasar mingguan ikonik itu.
“Pagi tadi di Kota Kinabalu, saya berkunjung ke pasar pagi GAYA.
“Suasana penuh warna dengan pelbagai hasil tempatan, hasil kraf, makanan dan senyuman orang Sabah yang begitu mesra dan membekas.
“Pasar minggu sudah lama menjadi mercu dan nadi masyarakat setempat dan menjadi pusat kepada peniaga-peniaga mencari rezeki dan tempat ketemu serta berkongsi kisah dan cerita.
“Justeru, itu kita akan terus beri dukungan kepada peniaga-peniaga kecil, dan semoga ekonomi rakyat terus menyemarak untuk dirasai semua,” katanya.
Pasar Gaya, yang terletak di tengah-tengah bandar raya itu bukan sekadar lokasi jual beli, malah menjadi simbol perpaduan dan warisan budaya Sabah.
Setiap Ahad, ribuan pengunjung membanjiri lorong-lorong pasar yang dipenuhi gerai menjual hasil kraftangan, makanan tradisional, pakaian, tanaman herba dan pelbagai barangan unik tempatan.








