Lawatan Negara Agong Ke Rusia Perkukuh Hubungan Antarabangsa Malaysia

MOSCOW: Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Persekutuan Rusia mencatatkan satu pencapaian bersejarah dalam landskap diplomatik Malaysia, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Seri Paduka Baginda berangkat tiba di Moscow pada 5 Ogos lalu atas jemputan rasmi Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir V. Putin.

Lawatan itu menjadikan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Negara Malaysia pertama yang melaksanakan Lawatan Negara ke Rusia sejak hubungan diplomatik Malaysia-Rusia terjalin pada tahun 1967.

Dalam pertemuan rasmi di Kremlin, Presiden Putin menyifatkan hubungan antara Moscow dan Kuala Lumpur berada pada tahap yang baik dengan komunikasi berterusan antara pelbagai agensi kerajaan.

Presiden Putin turut memuji peranan aktif Malaysia dalam Kumpulan Pembangunan Strategik Rusia-Dunia Islam yang disifatkannya sebagai satu bentuk kerjasama berkesan dan platform persefahaman bersama antara Rusia dan negara-negara Islam.

Selain Moscow, Seri Paduka Baginda turut berangkat ke Kazan sebagai sebahagian daripada Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia.

Di sana, Baginda menekankan potensi kerjasama antara Malaysia dan Republik Tatarstan dalam pelbagai bidang strategik termasuk petrokimia, inovasi, kewangan Islam dan sektor halal.

Hari ini, Seri Paduka Baginda berangkat pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan rasmi selama enam hari.

Terdahulu, Tuan Yang Terutama Rustam Minnikhanov, Rais (Presiden) Republik Tatarstan, mengiringi Baginda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan sebagai tanda penghormatan.

Anda Mungkin Berminat