PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dijadualkan berangkat mengadakan lawatan negara ke Arab Saudi dan Bahrain bermula esok (Isnin), sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik Malaysia dengan dunia Timur Tengah.
Menurut kenyataan media Istana Negara pada Ahad, lawatan itu mencatat sejarah tersendiri apabila ia menjadi kunjungan rasmi pertama oleh seorang Yang di-Pertuan Agong ke rantau berkenaan dalam tempoh lebih empat dekad.
Kali terakhir lawatan seumpama itu dilakukan ialah oleh Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada tahun 1984.
Sepanjang lawatan ke Arab Saudi, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, di Istana Yamamah, Riyadh.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi oleh paduka anakanda Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Turut serta ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Pengiring.
Istana Negara memaklumkan bahawa lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Arab Saudi dalam memperkukuh hubungan dua hala, selain memperluas kerjasama strategik merangkumi bidang ekonomi, geopolitik, pertahanan dan hal ehwal Islam.
“Dalam tempoh 10 bulan tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Negara Tanah Suci itu juga merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion,” katanya.
Selain aspek ekonomi, hubungan mesra kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah.
Seri Paduka Baginda dijangka menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan istimewa dan penyelarasan rapi yang diberikan kepada jemaah Malaysia setiap tahun.
Selesai lawatan di Riyadh, Yang di-Pertuan Agong akan berangkat ke Bahrain pada 6 November atas undangan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.
“Malaysia dan Bahrain juga bekerjasama dalam pelbagai sektor dengan jumlah nilai perdagangan sebanyak RM1.19 bilion (USD0.26 bilion) pada tahun lalu.
“Selain penglibatan aktif di pentas antarabangsa menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC-ASEAN),” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa lawatan ke Arab Saudi dan Bahrain merupakan kesinambungan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan pelbagai negara luar demi kepentingan dan manfaat rakyat serta negara.
“Pada lawatan negara saya ke Singapura, Brunei, China dan Rusia, saya sentiasa menekankan kepentingan kerjasama dan persahabatan erat yang memberi manfaat bersama kepada rakyat dan negara kita.
“Arab Saudi dan Bahrain adalah dua negara yang amat dekat di hati saya serta mempunyai hubungan strategik yang penting.
“Saya mohon rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan ini demi manfaat jangka panjang negara kita,” titah Seri Paduka Baginda.








