Lawatan PM Ke Afrika Guna Pesawat Khas, Jimat Kos Dan Masa

PETALING JAYA: Kerajaan Madani sekali lagi memilih pendekatan berhemah apabila memutuskan untuk menggunakan pesawat sewaan khas bagi membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi kerajaan dan perniagaan ke lawatan rasmi di tiga negara benua Afrika.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, langkah itu diambil kerana ia lebih menjimatkan masa, kos yang lebih ekonomi serta memudahkan penyelarasan perjalanan antara delegasi kerajaan dan perniagaan.

“Seperti juga lawatan yang Perdana Menteri tahun lalu dan juga pertengahan tahun ini yang mana kita juga menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia Airlines, di mana, kenapa kita menggunakan pesawat sewaan khas ini kerana ia menjimatkan masa, sebab sepertimana yang saya sediakan maklum tadi,” katanya.

Beliau menjelaskan, perjalanan ke tiga negara Afrika akan menjadi jauh lebih panjang dan menelan kos besar sekiranya menggunakan pesawat eksekutif kerajaan, selain kapasiti yang terhad.

Menurutnya, pesawat kerajaan mengambil masa berbelas jam untuk tiba di destinasi, manakala pesawat sewaan khas hanya memerlukan sembilan jam.

“Bila mana kita membuat keputusan untuk membawa komuniti perniagaan bersama, ini dengan menggunakan pesawat khas, ia memakan masa hanya sembilan jam lebih untuk ke Afrika.

“Kos menyewa pesawat sewaan Malaysia Airlines ini kosnya lebih terkawal dan lebih ekonomi berbanding operasi penuh pesawat kerajaan, penyelarasannya pula delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas dan tiba pada waktu yang sama, ini memudahkan kita untuk membuat perancangan di ketiga-tiga lokasi ini,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, penggunaan pesawat khas yang lebih ekonomikal itu menjamin kesemua delegasi dapat hadir ke setiap mesyuarat dan sesi libat urus mengikut jadual yang ditetapkan.

“Yang mana ia menjamin kehadiran yang tepat, dan untuk semua mesyuarat dan libat urus dan untuk diadakan di sana dan saya juga ingin menyentuh tentang kos penerbangan ini dan juga penginapan,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kos penerbangan hanya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bagi delegasi rasmi, manakala delegasi perniagaan perlu menanggung sendiri perbelanjaan mereka.

“Antara syarikat yang menyertai delegasi perniagaan ialah, Khazanah Nasional, TNB, DRB HICOM, Yinson Holding Berhad dan Fortres Mining Sendirian Berhad dipilih kerana mereka mempunyai perniagaan di Benua Afrika.

“Serta terdapat syarikat lain yang cuba meneroka bentuk peluang pasaran baharu di Afrika,” katanya.

Anda Mungkin Berminat