BEIJING: Lawatan empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China bukan sahaja menghasilkan potensi pelaburan bernilai RM905 juta.
Malah menyerlahkan keakraban hubungan peribadinya dengan Presiden Xi Jinping yang digambarkan sebagai faktor penting dalam membuka ruang kerjasama strategik baharu antara kedua-dua negara.
Bercakap kepada wartawan Malaysia, Anwar berkata, ikatan peribadi dengan Xi dan Premier Li Qiang semakin mekar hasil siri pertemuan di Tianjin dan Beijing.
Katanya, persahabatan itu “bertunjangkan keikhlasan” dan memberi kelebihan dalam memperkukuh kerjasama strategik.
Di Tianjin, beliau diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di sebuah universiti bersejarah selain bertemu pemimpin dunia untuk membincangkan isu perdamaian di Myanmar, hubungan dua hala serta krisis berlarutan di Gaza.
Di Beijing, Anwar bersama Presiden Xi dan pemimpin antarabangsa menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penamatan Perang Dunia Kedua.

Dalam kesempatan itu, beliau mengingatkan tentang bahaya hipokrasi kuasa besar yang menurutnya membiarkan kezaliman terhadap rakyat Palestin berterusan.
Lawatan berkenaan turut membuahkan hasil ekonomi yang signifikan.
Selain potensi pelaburan bernilai RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi, JD.com menyatakan komitmen pembelian produk Malaysia bernilai RM180 juta.
Sementara itu, pertemuan dengan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) membuka prospek eksport tambahan RM2.2 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Anwar menegaskan lawatan itu bukan sekadar membawa pulang angka pelaburan dan eksport.
Tetapi juga menampilkan Malaysia sebagai suara lantang di pentas antarabangsa memperjuangkan isu kemanusiaan seperti Gaza, di samping memperkukuh keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara.