KAHERAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi ke Mesir hari ini hingga 12 November atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi.
Pesawat beliau dijangka tiba pada pukul 6.30 petang waktu tempatan atau 12.30 tengah malam nanti waktu Malaysia.
“Saya kemudiannya akan ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang akan membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan, serta perkembangan serantau.
“Usai rencana di Kaherah dan Riyadh, saya akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Lima, Peru.
“Seterusnya delegasi Malaysia akan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

“Doakan perjalanan saya dan delegasi Malaysia dipermudah serta kesemua pertemuan yang akan berlangsung dapat membawa hasil yang besar kepada rakyat dan negara, Insya-Allah,” katanya di Facebook pada Sabtu.
Anwar akan disambut secara rasmi oleh Presiden Al-Sisi, diikuti mesyuarat dua hala yang akan membincangkan isu kepentingan bersama antara Malaysia dan Mesir.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian memaklumkan bahawa perbincangan tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama dalam sektor perdagangan, pertahanan, pelancongan, pendidikan, dan hal ehwal agama.
“Yang paling penting, perbincangan akan memberi tumpuan kepada pertukaran pandangan dan hala tuju dalam bidang kepentingan bersama, iaitu isu konflik di Palestin,” kata Mohd Tarid.
Kedua-dua pemimpin juga dijadualkan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Al-Azhar Al-Sharif.
Anwar juga difahamkan akan merasmikan pelancaran Proton SAGA CKD yang dihasilkan secara tempatan serta menyampaikan syarahan di Universiti Al Azhar.