Lawatan PMX, AMK tempelak tuduhan Wan Fayhsal amal politik sempit

KUALA LUMPUR:  Ketua Biro Hubungan Antarabangsa Angkatan Muda PKR (AMK), Arief Izuadin hari ini menyelar kenyataan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal (WAF), yang mendakwa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis dan Itali sebagai membazir, tidak memberi pulangan serta bertujuan menaikkan imej peribadi.

Menurut Arief, dakwaan yang dilontarkan oleh WAF bukan sahaja tidak berasas malah menunjukkan kejahilan terhadap cara hubungan antarabangsa berfungsi.

“Mana-mana Perdana Menteri yang melakukan lawatan rasmi ke luar negara sudah tentu disertai oleh pegawai-pegawai kementerian utama seperti MITI, Wisma Putra dan MOT.

“Ia bukan rombongan melancong, tetapi pertemuan strategik yang membincangkan pelaburan, keselamatan dan kerjasama teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan kononnya Perdana Menteri ingin menunjukkan diri sebagai ‘negarawan global’ adalah cerminan politik sempit dan tidak memahami konteks diplomasi antarabangsa.

“Ketika Datuk Seri Anwar berucap di Universiti Sorbonne, beliau membicarakan isu besar seperti hubungan ASEAN-EU, Islam progresif dan geopolitik global.

“Itu bukan sembang kosong tetapi bukti Malaysia kembali mengambil tempat sebagai pemain penting di pentas antarabangsa,” katanya lagi.

Mengulas tuduhan WAF bahawa dewan syarahan PM disewa dan bukan dijemput rasmi, Arief menjelaskan bahawa penggunaan fasiliti universiti melalui kerjasama dengan kedutaan adalah amalan biasa yang turut dilakukan oleh negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Qatar.

“Jika tiada ucapan rasmi, mereka akan tuduh Perdana Menteri tidak buat kerja. Bila ada syarahan pula, dituduh ‘sewa dewan’. Ini retorik tidak matang,” tegasnya.

Arief juga menyangkal dakwaan bahawa lawatan tersebut tidak dilaporkan media antarabangsa, dengan menegaskan bahawa media industri seperti Bloomberg dan Reuters telah menyiarkan laporan mengenai perjanjian Malaysia dengan Airbus.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa pembelian pesawat Airbus bukan sahaja memberi manfaat kepada Perancis, malah turut melibatkan pemindahan teknologi, latihan kepakaran dan pembangunan industri aeroangkasa tempatan.

 “Ini bukan seperti pembelian tanpa radar atau ventilator rosak seperti zaman terdahulu. Ia perjanjian dua hala yang strategik dan menyeluruh,” katanya sinis.

Menjawab tuduhan kononnya tiada pelaburan masuk, Arief menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak matang dan populis.

“Pelaburan bukan seperti membeli air di kedai. Ia memerlukan rundingan teknikal, jaminan dan keyakinan dua hala. Lawatan ini adalah permulaan yang penting,” jelas beliau.

Akhir sekali, beliau menolak dakwaan kononnya lawatan itu bersifat peribadi, memandangkan Perdana Menteri telah dijemput secara rasmi oleh Presiden Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Itali.

“Kalau ini lawatan peribadi, takkan pemimpin Eropah beri layanan rasmi sebegitu rupa? Jangan kecilkan peranan Malaysia semata-mata nak skor mata politik,” tambahnya.

Arief menegaskan bahawa AMK akan terus mempertahankan sebarang usaha membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang percubaan menjadikan hal ehwal diplomasi sebagai bahan kempen politik domestik.

“Kalau nak jadi pembangkang yang berkesan, jangan tembak sembarangan. Malaysia sedang bangkit semula – yang gelabah bukan Perancis, bukan Itali, tetapi mereka yang dulu pegang kuasa tapi tak buat kerja,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat