MOSCOW: Segmen pertama lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia disifatkan amat memberangsangkan dengan potensi perdagangan dan pelaburan dianggarkan bernilai antara 5 bilion AS Dolar hingga 10 bilion AS Dolar.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sepanjang lawatan ke Russia yang bermula Selasa lalu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan bersama beberapa pemain industri utama negara itu.
“Antara sektor yang diberi penekanan ialah industri halal. Industri ini dilihat memiliki potensi besar memandangkan populasi umat Islam di Moscow dianggarkan antara 1.5 juta hingga 2 juta daripada lebih 13 juta penduduk,” katanya kepada media Malaysia pada Khamis.
Menurut beliau, lawatan itu memberi harapan besar bagi kerjasama dua hala antara Malaysia dan Rusia dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Jika semuanya berjalan lancar, nilai perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara berpotensi mencecah 10 bilion AS Dolar,” ujarnya.
Tambahnya, dalam pertemuan Anwar bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin, beberapa isu penting turut dibincangkan termasuk ketidaktentuan landskap perdagangan global.
“Kita menyaksikan perkembangan positif termasuk cadangan penerbangan terus oleh syarikat penerbangan Aeroflot dari Moscow ke Kuala Lumpur yang dijangka bermula tidak lama lagi,” katanya.
Langkah tersebut dijangka dapat merancakkan lagi sektor pelancongan kedua-dua negara yang menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah pelawat sejak dua tahun lalu.
Perdana Menteri kini berada di Kazan bagi meneruskan segmen kedua lawatan rasminya yang bermula 13 Mei lalu dan dijadualkan berakhir hari ini.
Anwar dijangka menyampaikan ucaptama bertemakan pendigitalan pada Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-16 (KazanForum 2025), yang menjadi acara kemuncak lawatannya ke negara itu.
Kazan, yang terletak lebih 830 kilometer dari Moscow atau lebih lapan jam perjalanan darat, merupakan ibu negeri Republik Tatarstan dan dikenali sebagai pusat perindustrian, perdagangan serta kebudayaan masyarakat Tatar.
Baca juga: