PUTRAJAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, Sonexay Siphandone ke Malaysia dijangka memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Siphandone di Kompleks Perdana Putra pagi ini dalam satu majlis sambutan rasmi yang turut disertai pemeriksaan perbarisan kehormat oleh Rejimen Askar Melayu Diraja.
Menurut Anwar, ini merupakan lawatan pertama Siphandone ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Laos pada Disember 2022. Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan mesyuarat dua hala secara terhad yang menyentuh pelbagai isu berkepentingan bersama.
“Kami membincangkan pelbagai peluang kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan serta industri halal yang semakin mendapat tempat di peringkat serantau,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Perbincangan turut melibatkan persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta pandangan mengenai isu serantau termasuk situasi di Myanmar dan kemajuan proses penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia menyambut baik komitmen Laos untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini membuktikan hubungan Malaysia-Laos berada di landasan yang kukuh dan mampu diperkasakan menerusi kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Baca juga: