KUALA LUMPUR: Malaysia memasuki fasa penting menjelang pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 esok, yang bakal menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tumpuan diplomasi antarabangsa sepanjang minggu ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata sidang kemuncak berprestij itu bukan sekadar penutup kepada setahun kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, tetapi simbol kepada peranan aktif negara dalam membentuk masa depan rantau yang inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
“Acara tahun ini akan menghimpunkan pemimpin tertinggi ASEAN bersama rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan Korea Selatan, selain tetamu khas Pengerusi yang terdiri daripada Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Kesatuan Eropah,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu.

Lawatan Presiden Brazil – Fokus Ekonomi dan Teknologi
Menurutnya, tumpuan hari ini bermula dengan lawatan rasmi Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, yang menandakan dimensi baharu dalam hubungan dua hala Malaysia–Brazil.
“Lawatan ini merupakan yang pertama sejak Lula kembali memimpin negaranya pada 2023, dan menjadi kesinambungan kepada pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro pada Julai lalu.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, teknologi, serta pembangunan mampan, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global.
“Lawatan itu turut menggambarkan keakraban hubungan Malaysia–Brazil berasaskan semangat saling hormat dan kerjasama Selatan–Selatan ke arah keadilan ekonomi sejagat,” katanya lagi.

Lawatan Presiden Afrika Selatan – Kukuhkan Jaringan Selatan–Selatan
Pada sebelah petang, Perdana Menteri dijadual menerima lawatan rasmi Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik bersejarah antara kedua-dua negara sejak awal 1990-an.
“Lawatan pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada 2018 ini membuka lembaran baharu dalam kerjasama perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan, serta inovasi teknologi.
“Malaysia turut mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua Afrika, dan berhasrat memperluas pasaran minyak sawit serta kerjasama dalam sektor tenaga, pertanian dan pembuatan bernilai tinggi.
“Kedua-dua pemimpin turut menegaskan pendirian tegas dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, dengan Malaysia menghargai peranan Afrika Selatan membawa isu itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” ujarnya lagi.
Malaysia Pusat Diplomasi Dunia
Lawatan rasmi dua pemimpin itu menjadi pembuka tirai kepada minggu diplomasi terbesar Malaysia tahun ini, sekali gus mencerminkan keyakinan dunia terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim dan dasar luar Malaysia yang berprinsip serta progresif.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati di pentas antarabangsa, menerajui agenda kemanusiaan, perdagangan adil dan kerjasama global berasaskan nilai.
Malaysia sekali lagi menzahirkan komitmen untuk menjadi suara yang memperjuangkan keamanan, keadilan dan perpaduan sejagat.
Baca juga:








