PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan lawatan kerja sehari ke Kuantan, Pahang pada Jumaat ini, dengan pelbagai pengisian yang menekankan pembangunan daerah, keterlibatan belia serta pemerkasaan warisan budaya bangsa.
Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, lawatan tersebut akan dimulakan dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kuantan sebelum Anwar beramah mesra bersama penduduk setempat dan warga Kuantan.
“Usai solat Jumaat, Perdana Menteri akan mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuantan di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan bagi membincangkan agenda pembangunan setempat termasuk usaha memperkukuh ekonomi daerah, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada sebelah petang, Anwar dijangka menghadiri Himpunan Anak Pahang MADANI di Perkarangan UTC, Kuantan yang bakal menghimpunkan lebih 7,000 anak muda dan belia dari seluruh negeri.
“Perhimpunan ini juga bakal menjadi ruang untuk anak muda dan belia negeri Pahang membina kesedaran, memperkukuh pemikiran kritikal serta mengambil peranan sebagai generasi yang akan mencorakkan masa depan negara selain berpeluang untuk berinteraksi secara langsung bersama Perdana Menteri dalam memberikan pendapat dan buah fikiran bersama,” katanya.
Lawatan kerja itu akan diakhiri dengan Himpunan Pendekar MADANI Pahang di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) pada pukul 8 malam, yang menghimpunkan tokoh silat, guru serta pesilat dari seluruh negeri.
Jelas Ahmad Farhan, program tersebut amat signifikan dalam usaha memartabatkan seni silat sebagai warisan budaya bangsa selain memperkukuh nilai disiplin, perpaduan dan semangat persaudaraan.
Tambah beliau, gabungan kedua-dua himpunan itu melambangkan keseimbangan antara pembangunan minda generasi muda dengan pengukuhan identiti serta semangat perjuangan bangsa.
“Ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan golongan belia sebagai aset masa depan negara serta memelihara khazanah seni warisan agar terus subur dan relevan selaras dengan kerangka Malaysia MADANI,” katanya.








