Lee Hsien Loong akan terus dalam kabinet Singapura, bakal menteri kanan

Lee Hsien Loong akan kekal dalam kabinet kerajaan Singapura sebagai Menteri Kanan selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong memaklumkan perkara berkenaan pada Selasa dan menjelaskan tidak akan berlaku banyak perubahan dalam kabinet tersebut.

Wong juga memaklumkan maklumat lengkap rombakan kabinet akan diumumkan beberapa hari sebelum majlis angkat sumpah yang dijadualkan pada 15 Mei nanti.

“Sistem kita berfungsi atas dasar kesinambungan dan perubahan progresif. Tidak pernah berlaku apabila berlaku peralihan kepimpinan, semua menteri lama berundur pada masa yang sama,” katanya.

Wong akan mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Singapura dari Hisen Loong, berkuatkuasa pada 15 Mei depan.

Menurut Hsien Loong, beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Wong yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri pada 15 Mei depan.

“Saya akan menyerahkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei 2024 dan Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang seterusnya pada hari yang sama.

“Saya meminta semua rakyat Singapura memberi sokongan penuh kepada Lawrence dan pasukannya untuk mencipta masa depan yang lebih cerah kepada Singapura,” katanya.

Wong telah mendapat sokongan sebulat kata Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), pernah mendapat pendidikan di Amerika Syarikat dilihat bijak menangani krisis Covid-19 dengan berkesan apabila beliau menyertai pasukan petugas pandemik kerajaan.

Wong akan menjadi Perdana Menteri Singapura keempat selepas Lee; Goh Chok Tong (1990) dan Lee Kuan Yew (1959).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat