MANHATTAN: Lebih 100 seniman terkenal termasuk pemuzik, pelakon dan penulis menandatangani surat terbuka menyatakan sokongan kepada Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, yang berdepan desakan antarabangsa supaya meletakkan jawatan.
Dalam surat daripada kumpulan Artists for Palestine pada Sabtu, para penandatangan menyatakan ‘sokongan penuh kepada Francesca Albanese, seorang pembela hak asasi manusia dan oleh itu juga kepada hak rakyat Palestin untuk wujud’.
“Di setiap penjuru dunia, jumlah kami jauh lebih ramai yang mahu kekerasan tidak lagi menjadi undang-undang.
“Yang tahu apa makna sebenar perkataan ‘undang-undang’,” kata surat itu, memetik laporan Al Jazeera.
Antara tokoh yang menyatakan sokongan ialah pelakon Mark Ruffalo dan Javier Bardem, penulis pemenang Hadiah Nobel Annie Ernaux serta pemuzik British Annie Lennox.
Pada Forum Al Jazeera minggu lalu, Albanese yang lantang mengkritik perang genosid Israel di Gaza berkata “kita sebagai manusia mempunyai musuh bersama”.
Namun, sebuah video palsu yang kemudian dibuktikan tidak benar mendakwa beliau menyebut Israel sebagai ‘musuh bersama’.
Beliau kemudian menjelaskan di media sosial bahawa yang dimaksudkan sebagai ‘musuh bersama’ ialah ‘sistem yang telah membolehkan berlakunya genosid di Palestin’.
Walau begitu, beberapa negara Eropah termasuk Perancis dan Jerman terus mendesak agar beliau disingkirkan.
Pada Selasa, sekumpulan Ahli Parlimen Perancis menghantar surat kepada Menteri Luar Jean-Noel Barrot, mengecam kenyataan Albanese sebagai ‘anti-Semitik’.
Sehari kemudian, Barrot menggesa beliau meletakkan jawatan, dengan menyatakan Perancis ‘tanpa syarat mengecam kenyataan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima’.
Pada Khamis, Menteri Luar Jerman Johann Wadephul pula menyifatkan kedudukan Albanese sebagai ‘tidak lagi boleh dipertahankan’.
Pengarang dan penerbit filem Frank Barat berkata, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Barrot berulang kali menyatakan mereka menyokong undang-undang antarabangsa, ‘namun fakta menunjukkan sebaliknya’.
Menurut Barat, Albanese sejak dua tahun lalu menekankan bahawa di bawah undang-undang antarabangsa, ‘negara mempunyai kewajipan untuk bertindak mencegah genosid dan mereka telah gagal sepenuhnya’ di Gaza.
“Kerana Francesca menyorot hipokrasi ini, beliau telah menjadi sasaran kebanyakan kerajaan Barat.
“Agenda politik kerajaan-kerajaan ini adalah untuk menindas sebarang kritikan terhadap Israel.
“Kita telah melihatnya di jalanan Eropah. Kita telah melihatnya di jalanan Amerika Syarikat,” katanya kepada Al Jazeera.
Mereka yang bersuara menentang perang Israel ke atas Palestin, tambah Barat, ‘dijadikan penjenayah sementara pelaku genosid terus dilepaskan’.








