Oleh Nadhirah Akmam
PUTRAJAYA: Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung penuh meriah dan berwarna-warni, mencerminkan semangat patriotik yang tidak pernah pudar.
Menurut Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, acara gilang-gemilang itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar serta barisan kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet.
Dengan tema ‘Malaysia MADANI Rakyat Disantuni’, sambutan kali ini memberi penekanan terhadap nilai kebajikan, kesejahteraan dan perpaduan rakyat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
“Tumpuan utama perarakan melibatkan 14,062 peserta yang terdiri daripada pasukan pancaragam, kontinjen beruniform, kenderaan aset strategik serta sektor penting negara.
“Lebih menarik, buat pertama kali kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 turut serta memeriahkan perbarisan.” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sambutan turut disemarakkan dengan persembahan khas melibatkan 1,000 peserta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), selain persembahan koir grafik manusia oleh 2,000 pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu, pertunjukan bag pipe serta demonstrasi udara oleh Angkatan Tentera Malaysia menjadi tarikan utama penonton.
Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Dataran Putrajaya menjadi lokasi bagi sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-68 bagi tahun ini.
Baca juga:








