Lebih 17,500 pencalonan diterima dalam Pemilihan PKR 2025

PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 mencatat penyertaan luar biasa dengan lebih 17,500 pencalonan diterima daripada 222 cabang di seluruh negara, menandakan komitmen tinggi anggota parti terhadap proses demokrasi dalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, proses penamaan calon yang berakhir pada 16 Mac lalu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pemilihan parti.

Beliau turut menegaskan bahawa fasa seterusnya akan melibatkan tempoh bantahan terhadap calon pada 18 hingga 20 Mac 2025, manakala proses rayuan terhadap bantahan akan dibuka dari 24 hingga 25 Mac 2025 bagi memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua calon yang bertanding.

“Bagi calon yang ingin menarik diri atau membatalkan pencalonan, mereka diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum 20 Mac 2025.”

“Keputusan muktamad pencalonan bagi semua peringkat, termasuk Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Cabang, akan diumumkan pada 28 Mac 2025,” katanya.

Dr Zaliha turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang menyertai proses ini dengan semangat dan dedikasi.

“Penyertaan besar ini membuktikan bahawa PKR terus menjadi wadah perjuangan yang demokratik, inklusif dan terbuka kepada akar umbi,” katanya lagi.

JPP turut mengingatkan calon dan penyokong agar terus mematuhi tatacara pemilihan bagi memastikan proses berjalan dengan lancar dan harmoni.

Sebarang maklumat rasmi berkaitan Pemilihan PKR 2025 boleh didapati di laman web pemilihan.keadilanrakyat.org serta media sosial rasmi Facebook dan TikTok Pemilihan PKR 2025.

Anda Mungkin Berminat