KUALA LUMPUR: Program INNOVATHON Musim Ketiga mencatat sejarah baharu apabila menerima sebanyak 2,032 penyertaan tahun ini, meningkat lebih 100 peratus berbanding 1,003 penyertaan pada tahun 2024.
Lonjakan itu menjadi petanda jelas bahawa semangat inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membara.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyifatkan peningkatan penyertaan itu sebagai bukti keberanian masyarakat dalam mengetengahkan idea-idea berimpak tinggi yang bukan sahaja berpotensi untuk dikomersialkan, malah mampu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Kementerian Ekonomi meningkatkan nilai Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan daripada RM1 juta kepada RM1.65 juta tahun ini bagi memacu semangat daya cipta selaras dengan keutamaan RMK13,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Program yang kini memasuki musim ketiga itu terus digerakkan sebagai usaha membudayakan inovasi di seluruh negara.
Ia turut memberi penekanan kepada pemupukan minat terhadap bidang STEM, merancakkan pelaburan swasta dalam inovasi serta memperkukuh pendaftaran harta intelek.
“Matlamatnya adalah melahirkan lebih ramai inovator yang mampu membawa idea ke peringkat komersial,” ujar beliau.
Menariknya, musim ini tampil dengan pendekatan baharu melalui uji bakat bersasar yang dijalankan di institusi dan agensi terpilih seperti UiTM Melaka, Institut Kesihatan Negara (NIH), Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
Langkah itu diambil bagi mengenal pasti bakat inovasi yang berpotensi tinggi.
“Pendekatan ini dibuat berdasarkan potensi dan minat tinggi dalam kalangan institusi terbabit,” jelasnya.
Selain itu Amir Hamzah berkata, uji bakat terbuka turut diadakan di enam zon utama iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak bermula 10 Jun hingga 5 Ogos lalu, membuka ruang kepada lebih ramai rakyat untuk menyertai dan menonjolkan kreativiti mereka.
Sejak diperkenalkan, INNOVATHON telah menjadi platform penting dalam mencungkil bakat pencipta, menghubungkan inovator dengan pelabur serta membantu memasarkan produk inovasi tempatan ke pasaran yang lebih luas.








